Barcelona vs Manchester United Percaturan veteran, muda ( Ferguson vs Pep Guardiola )




APAKAH ada penamat lain yang lebih menarik buat Liga Juara-Juara Eropah, selain daripada menyaksikan dua kelab besar dan paling popular dalam bola sepak, Manchester United bertemu Barcelona di final?

Perlawanan di Stadium Olimpik Rome itu ibarat pertarungan tinju heavyweight; penyandang juara dan pasukan pilihan, United menentang pasukan paling menyerlah musim ini, Barcelona.

Jika dicampurkan antara kedua-dua pasukan, sudah lima gelaran Eropah yang dikumpul; tiga United dan dua Barcelona. Meskipun ia sekadar menyamai rekod Liverpoo; lima kejuaraan dan dua kurang daripada Real Madrid (tujuh gelaran), namun hakikatnya kedua-dua kelab itu adalah yang terbaik ketika ini.

Corak menyerang yang diamalkan United dan Barcelona turut menjanjikan perlawanan yang mengujakan dan menghiburkan. Jika United meneruskan tradisi kelab Inggeris dengan hantaran-hantaran jauh, Barcelona pula adalah pasukan paling banyak berlari di Eropah.

Barca turun selaku juara Liga Sepanyol dan Piala Raja Sepanyol manakala United pula baru mempertahankan gelaran Liga Perdana England dan Piala Liga, menjadikan pertarungan awal pagi ini ibarat ‘buku bertemu ruas’.

Kebanyakan peminat berkecuali memilih Barcelona untuk muncul juara kerana ia memberi kepuasan buat mereka, selain menjadikan kejohanan lebih menarik.

Namun bagi pakar, United adalah calon pilihan untuk mempertahankan gelaran kerana pengalaman yang dimiliki, selain muslihat yang terselindung di sebalik percaturan jurulatihnya, Sir Alex Ferguson.

Ferguson, 67, yang tiba di Old Trafford hampir 23 tahun lalu punya pengalaman luas untuk mencari taktik dan strategi bagi memerangkap Barca, yang dibimbing jurulatih muda berusia 38 tahun, Pep Guardiola.

Melihat statistik Barcelona, kelab Catalan itu dijangka mendominasi tengah padang dan mengawal bola lebih lama, sama seperti yang dilakukan ketika menentang Chelsea di Nou Camp.

Namun, United telah belajar daripada dua saingan separuh akhir Barca ketika menentang Chelsea. Xavi Hernandez, Andreas Iniesta dan Lionel Messi diberi banyak ruang untuk mengawal bola, namun langkah mereka tersekat sebaik menghampiri kubu lawan.

Empat tonggak pertahanan United, Rio Ferdinand, John O’Shea, Patrice Evra dan Nemanja Vidic cukup berpengalaman untuk mematahkan gerakan rangkaian serangan Barca; Lionel Messi, Thiery Henry dan Samuel Eto’o.

Pada ketika Ferdinand bakal memegang tanggungjawab mengekang Eto’o, Evra pula berperanan mengawal penyerang licik yang dalam proses menjadi Pemain Terbaik Dunia, Messi.

Ferguson mempunyai pilihan untuk menurunkan Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney, Dimitar Berbatov dan Carlos Tevez dalam jentera serangannya.

Yang pasti, Ronaldo dan Rooney tidak mungkin tercicir daripada kesebelasan utama. Tanpa dua tonggak pertahanan yang digantung, Eric Abidal dan Daniel Alves, pemain veteran Brazil, Sylvinho mungkin berperanan mengekang Ronaldo.

Dengan faktor umur yang melewati 35 tahun, stamina Sylvinho mungkin sukar untuk menandingi kelincahan bintang Portugal itu, yang bakal diletak di sayap kiri, posisi yang akan menjadi kekuatan utama Red Devils.

Satu lagi kelebihan United, sesuatu yang sudah lama disedari, betapa kelab-kelab Sepanyol cukup benci dengan permainan fizikal kelab Inggeris.

Apa pun, pengalaman menentang Chelsea di separuh akhir, malah kalah kepada United pada separuh akhir tahun lalu, meletakkan Barca dalam situasi lebih bersedia.

Jika mereka mampu bermain bijak; tidak bergantung kepada fizikal semata-mata, dan mampu memaksimumkan kekuatan utama – trio Messi, Henry dan Eto’o – tiada sebab mengapa Barcelona tidak mampu menjulang Piala Eropah buat kali ketiga selepas kemenangan pada 1992 dan 2006.

Kombinasi Messi, Henry dan Eto’o telah menghasilkan lebih 100 gol musim ini, rekod yang cukup digeruni. Berita bahawa Henry sudah pulih dan sedia diturunkan dalam kesebelasan utama, pasti menggerunkan United.

Biarpun kehilangan Alves dan Abidal, ia tidak banyak menjejaskan pasukan kerana kedua-dua pemain itu tidaklah begitu menyumbang kepada gerakan serangan Barca.

Malah, fakta bahawa Messi lebih menyerlah berbanding Ronaldo sepanjang musim ini turut memberi keyakinan buat Barca, serangan mereka mampu lebih menyengat daripada kelab Inggeris itu.

Kelemahan utama United yang sedia dihukum Barcelona adalah pertahanan kanannya. Sama ada slot diberi kepada O’Shea, pemain remaja, Rafael Da Silva atau pemain veteran, Gary Neville, ia tetap posisi yang bakal menjadi lubuk serangan Barcelona.

Dengan Ronaldo sering keberatan untuk membantu benteng dan mudah kehilangan bola, pemain-pemain Barca punya banyak peluang untuk menyusup ke kubu lawan melalui sayap terutama menerusi gerakan Iniesta dan Henry.

Menyedari kudrat Silvinho mungkin tidak cukup kuat untuk mengekang Ronaldo, Guardiola dijangka memilih Yaya Toure untuk mengawal sayap Portugal itu.

Walaupun posisi asal Toure adalah pemain tengah, namun adik kepada pertahanan Arsenal, Kolo Toure itu bakal bertukar peranan untuk mengawal Ronaldo. Sudah tentu, dia sudah mendapat banyak tips daripada abangnya yang berpengalaman menentang United di separuh akhir. – Ihsan Utusan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: