Terengganu juara MSSM 2009


Kelantan berpuashati di tempat Kedua

KUALA LUMPUR – Terengganu merangkul kejuaraan keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) ke-51 selepas menamatkan saingan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini semalam.

Kontinjen negeri itu berjaya mengumpul 13 pingat emas, enam perak dan 13 gangsa diikuti Kelantan dengan 11-7-1 dan Kedah di tempat ketiga dengan pungutan 11-5-8.

Pelari jarak sederhana, Nik Hafiz Nik Mohamad dari Kelantan dinobatkan sebagai Olahragawan manakala peserta jalan kaki, Nur Aisyah Ahmat dari Sarawak dipilih sebagai Olahragawati MSSM 2009.

Nik Hafiz mencipta rekod kejohanan dalam acara 800m dan memenangi emas acara 1,500m dalam kategori bawah 18.

Pada saingan semalam, Nur Aisyah mencipta rekod dalam acara 3,000m jalan kaki perempuan bawah 15 dengan catatan masa 14:59.59s mengatasi rekod 15:18.38s yang dipegang Nur Suhila M. Rusni pada tahun 2007.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom menyampaikan piala pusingan tajaan Nestle kepada Terengganu dan mengumumkan bahawa negeri itu akan menjadi tuan rumah kejohanan itu tahun depan.

“Berdasarkan prestasi atlet sepanjang menjalani latihan, kami sememangnya meletakkan sasaran untuk muncul juara keseluruhan dan kami akan cuba mempertahankan gelaran ini di gelanggang sendiri tahun depan,” kata Ketua Kontinjen Terengganu, Mohd. Azmy Zakaria.

Sementara itu, empat lagi rekod kejohanan dicipta pada hari terakhir kejohanan yang menyaksikan atlet Terengganu mencipta dua daripadanya.

Pelari pecutnya, Harith Ammar Mohd. Sobri, pelajar Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu, berjaya memecahkan rekod acara 200m bawah 15 tahun dengan catatan masa 22.50s bagi memadamkan rekod 22.58s oleh Muhd. Ajmal Aiman juga dari Terengganu tahun lepas.

“Saya berasa sungguh bertuah dan sangat bersyukur kerana dapat memenangi emas dan pada masa sama dapat memperbaharui rekod kejohanan selepas gigih menjalani latihan selama dua tahun,” katanya.

Kejayaan yang diperolehinya pada kejohanan kali ini sedikit sebanyak mengubat kekecewaan kerana tidak dapat beraksi pada dua kejohanan yang sama akibat kecederaan hamstring.

Sebelum tirai kejohanan dilabuhkan, kuartet 4x400m Terengganu turut mencipta rekod baru kejohanan dengan catatan masa 3:21.66s untuk memadamkan rekod yang dipegang kuartet Johor iaitu 3:21.79s pada tahun lepas.

Peserta Sabah, Jvan De Jvender Johwas berjaya mengatasi rekod dalam acara lompat kijang lelaki bawah 15 tahun selama lapan tahun dengan lompatan sejauh 14.26m.

“Saya hanya sasarkan untuk menyamai jarak yang saya lakukan pada MSS Sabah tetapi saya tidak menyangka saya dapat mencatat jarak lompatan mencapai 14 meter,” katanya.

Jven, berjaya membuat lompatan untuk memadamkan rekod terdahulu 14.20m yang dipegang Mohd. Marzuki Abdul Samah. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: