Kelantan tetap ke Old Trafford





JAMES BUTLER 



KELANTAN tetap ke Old Trafford meskipun gagal menjulang Piala FA. 
Memenuhi janji yang perlu dikotakan, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tetap menghadiahkan ganjaran kepada skuad Kijang untuk mengadakan lawatan ke tempat di mana kelab gergasi dunia, Manchester United beraksi.

Ganjaran ini pasti membangkitkan semula semangat pemain yang luntur ekoran kegagalan merangkul kejuaraan Piala FA buat julung kalinya selepas menunggu 39 tahun apabila tumpas 1-4 kepada Selangor melalui penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin.

Rupa-rupanya, perancangan itu telah lama dibuat oleh pengurusan Kafa tanpa pengetahuan pemain dan dijangkakan mereka akan berlepas ke destinasi tersebut Ogos nanti.

Hari ini, satu majlis penyampaian tiket kapal terbang akan berlangsung dan ia akan disempurnakan oleh Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan, Azman Ibrahim berkata, skuadnya mencapai sasaran awal untuk melayakkan diri beraksi di pentas akhir piala berprestij itu dan ia merupakan satu hadiah buat peminat.

Justeru katanya, penghargaan perlu diberi kepada pemain atas usaha keras itu untuk terus memberi fokus dalam kancah saingan Liga Super dan Piala Malaysia nanti.

“Kita sasarkan masuk akhir, menang merupakan satu bonus, jadi ganjaran ini tetap diberikan dengan harapan semangat pemain tidak pudar,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, semalam.

Pasukan yang digelar Wira Merah ini tetap mendapat sambutan daripada kira-kira 100 peminat setia yang menunggu ketibaan mereka meskipun tidak bergelar juara.

Mengulas mengenai perlawanan kelmarin, Azman menyimpulkan nasib tidak menyebelahi anak buahnya apabila perlawanan itu berakhir dengan sepakan penalti meskipun pada awalnya mendahului menerusi gol Norfarhan Mohamad yang dijaringkan pada minit ke-92 dalam masa tambahan.

Menolak tanggapan skuad kendalian Peter James Butler itu tidak berlatih untuk membuat sepakan penalti bagaimanapun katanya, kebanyakan pemain agak keletihan selain dihantui kecederaan seperti Khalid Jamlus dan Che Hishamuddin Hassan.


PENJAGA gol Kelantan, Shahrizan Ismail (tengah) beraksi cemerlang pada perlawanan akhir Piala FA untuk menangkis asakan pemain Selangor.



“Kalau diikutkan, Norfarhan antara pemain yang akan mengambil sepakan tetapi kita terpaksa keluarkan dia awal sebab cedera.

“Semua pemain sangat letih, puas juga dipujuk untuk mengambil penalti sebab ada di antara mereka menolak,” jelasnya.

Secara keseluruhan menurutnya, pemain telah mempersembahkan permainan yang terbaik dan berjaya mengejutkan Selangor dengan corak permainan pantas dan mengelirukan.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada ribuan penyokong setia Kelantan yang memenuhi separuh daripada kapasiti penonton di stadium berkenaan untuk memberikan sokongan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: