90,000 penonton bakal banjiri Stadium Nasional





CHE MAT (dua dari kiri) mempengerusikan sidang akbar mengenai persediaan keselamatan bagi perlawanan akhir Piala FA 
di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.




“STADIUM Nasional di Bukit Jalil diramal penuh dan kami meletakan sasaran 90,000 penonton menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Selangor dengan Kelantan, Sabtu ini.”

Demikian jelas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang yakin penyokong kedua-dua pasukan akan membanjiri stadium berkenaan pada perlawanan akhir piala berprestij itu kelak.

Keyakinan itu adalah berdasarkan dua pasukan tersebut adalah antara pasukan yang mempunyai penyokong paling ramai dalam liga tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Che Mat Jusoh berkata, jumlah kehadiran yang mereka sasarkan itu tidak mustahil untuk dicapai memandangkan kedua-dua pasukan mempunyai penyokong setia yang agak ramai.

“Saya harap peminat kedua-dua pasukan ditambah dengan peminat berkecuali bola sepak tanah air yang lain akan hadir menyaksikan perlawanan akhir yang dijangka menarik ini.

“Saya sasarkan 90,000 orang penonton akan hadir menyaksikan perlawanan akhir itu Sabtu ini dan seterusnya kita akan buat rekod tersendiri.

“Tengok sajalah, kelab penyokong Kelantan pun mencari bas sampai ke Terengganu untuk membawa penyokong mereka ke Bukit Jalil.

“Ia tidak mustahil kerana pertemuan kedua-dua pasukan dalam Liga Super di Shah Alam sebelum ini juga mencecah 40,000 penonton dan di Bukit Jalil dua minggu lalu 20,000 penonton yang hadir,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala FA 2009 di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Che Mat yang juga Naib Presiden FAM turut mahu melihat perlawanan akhir Sabtu ini sebagai satu perlawanan yang menarik biarpun ia tidak lagi menampilkan kelibat pemain import.

“Ini pertama kali perlawanan akhir tanpa pemain import. Jadi kita nak tengok bagaimana sambutan penonton terhadap perlawanan ini nanti.

“Cuma saya harap penyokong kedua-dua pasukan tidak membuat kacau dan sentiasa mengikut arahan polis demi kelancaran sebelum, semasa dan selepas perlawanan,” jelasnya.

Sementara itu, Komander Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Datuk Roslan Ahmad berkata, mana-mana individu yang dilihat membakar mercun tidak akan terlepas daripada tindakan mereka.

“Sesiapa yang dikenal pasti dan didapati melakukan kesalahan tersebut akan ditangkap serta merta.

“Kita akan tempatkan 1,279 anggota termasuk FRU, Pasukan Gerakan Am (PGA), trafik, unit pengesan dan juga detektif bagi memastikan perlawanan akhir kali ini berjalan lancar,” katanya pada sidang media yang sama.

Berhubung laluan trafik, Roslan berkata, bas-bas penyokong Kelantan boleh diletakkan di Parking F di Stadium Hoki Nasional manakala bas-bas penyokong Selangor di kawasan Family Parking juga berdekatan dengan Stadium Hoki.

“Kita harap penyokong kedua-dua pasukan dapat mematuhi arahan trafik supaya tidak berlaku kesesakan,” katanya.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: