Ada kelompok tertentu sengaja cetus kekacauan’


ANNUAR MUSA



RAMAI yang beranggapan sentimen hooliganisme (samseng bola sepak) mula bercambah di kalangan peminat setia pasukan Kelantan, gara-gara rusuhan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, Selasa lalu.

Yang terpaksa menangguh padahnya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akibat perbuatan tidak bertanggungjawab peminat terlalu mengikut emosi.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah pun menghukum dengan denda dan tuntutan ganti rugi lebih RM100,000 selain menggantung stadium itu daripada aksi Liga M sepanjang musim 2009.

Namun, bagi Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa, ini seperti ‘membunuh’ bola sepak negeri Kelantan.

Kepada wartawan Mingguan Malaysia, ABDUL HAFIZ AHMAD dan jurugambar, NOOR ADZRENE MOHD. NOOR, bekas Menteri Belia dan Sukan dari 1990 hingga 1995 itu mengesyaki ada pihak yang sengaja mencetuskan rusuhan kerana tidak senang dengan populariti bola sepak Kelantan.

MINGGUAN: Sejak Liga Semi-Pro diperkenalkan 1989 diikuti profesional sepenuhnya pada 1994, sejauh manakah profesionalisme bola sepak Malaysia dari segi pemain, jurulatih dan persatuan negeri?

Annuar: Umumnya saya dapati tidak banyak kemajuan dan perubahan sepanjang tempoh bola sepak profesional kita diperkenalkan. Satu tempoh yang panjang tetapi menyaksikan kemajuan yang terbatas. Dari satu sudut, saya tidak nampak banyak perbezaan dari era amatur. Saya tidak menyaksikan mutu profesionalisme yang menyeluruh pada pemain, pengadil dan kaedah penganjuran liga mahupun pengurusan pentadbiran.

Apakah faktor yang mendorong keganasan pemain dan penonton di stadium baru-baru ini?

ANNUAR: Ia tercetus daripada insiden tertentu di padang, suasana perlawanan, keselamatan stadium, nilai budaya kelompok tertentu, persekitaran kemudahan, kelonggaran pengurusan dan ketidakcekapan pengendalian perlawanan. Kita tidak boleh hanya kerana satu peristiwa seperti di Kota Bharu, terus buat kesimpulan mudah tanpa siasatan dan kajian mendalam. Hooliganisme bola sepak ada di mana-mana, malah saya tidak menolak kemungkinan terdapatnya kelakuan ganas penonton bola sepak yang disengajakan atau dirancang.

Adakah menjadi amalan pegawai pasukan atau jurulatih khususnya yang menggalakkan atau menerapkan taktik menyakiti pemain lawan semata-mata untuk mengganggu tumpuan lawan?

ANNUAR: Jurulatih bebas menggunakan sebarang taktik yang dikehendaki. Dalam padang, ini normal selagi ia tidak melanggar undang-undang permainan. Malah, semua pasukan tahu, ada hadnya dalam perlakuan mereka itu menerusi hukuman kad kuning dan kad merah. Terserah kepada jurulatih dan bagi saya, tidak salah bermain secara robust (keras). Pengadil juga kena bijak bertindak, cepat dan seimbang mengendalikan perlawanan yang didapati mulai bermasalah dan genting. Kita tidak boleh salahkan jurulatih jika pemain atau penonton mengganas.

Kenapa KAFA masih mengambil Halim Napi sebagai penjaga gol Kelantan yang sudah terbukti kerap dihukum Jawatankuasa Tatatertib malah sehingga pernah mahu digantung seumur hidup?

ANNUAR: Kami menyedari latar belakang kontroversi Halim pada masa lalu dan dalam masa yang sama kami mahu berikan peluang kepada anak jati Kelantan yang berbakat. Kebetulan pasukan kami ketiadaan penjaga gol yang berpengalaman untuk bersaing dalam Liga Super setelah persediaan kami pada awalnya ditumpukan kepada Liga Perdana. Dia merupakan salah seorang yang ditunjukkan selepas kami meninjau beberapa pemain. Prestasinya cemerlang dalam Piala Emas Raja-Raja sehingga Kelantan bergelar juara. Dia didapati berpotensi baik, berdisiplin dan masih meminati bola sepak. Saya rasa tidak salah kami berikannya peluang. Kita semua manusia biasa, ada buat silap dan Halim melakukannya berkali-kali dan cukup ketara (menentang Negeri Sembilan, Selasa lalu).

Bukan sahaja kepada Halim, saya menasihati bahkan semua pemain Kelantan. Saya sendiri duduk berbincang dengan mereka kerana mengamalkan pendekatan mudah didekati dan tidak sesekali mahu menganggap pemain seperti hamba, kuli atau orang gaji.

Halim juga mendapat perhatian rapi saya secara peribadi dan dalam setiap perlawanan, saya menasihatinya termasuk perlawanan terakhir (Selasa lalu). Saya katakan kepadanya – walau apa pun label orang kepadanya, jangan sesekali terpengaruh dengan provokasi itu termasuk oleh pemain lawan.

Selepas insiden (menyerang Aidil), dia meminta maaf tetapi saya melihat dia mempunyai masalah diri sukar mengawal diri dalam keadaan tertentu. Ia naluri semula jadinya yang mudah bertindak balas walaupun dia kata, dia sedar ketika meluru ke arah Aidil, malah sudah terbayang hukuman FAM di kepalanya ketika melakukannya. Bagaimanapun kami sudah menggantungnya serta-merta kerana kesalahannya cukup ketara.

Adakah tahap keselamatan kebanyakan stadium di negara ini belum menjamin pemain dan penonton?

ANNUAR: Sesetengah stadium terlalu tua dan dibina sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Keadaan ketika itu tidak menempatkan jumlah penonton yang ramai. Di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, tahap keselamatannya memang minimum, malah ada pintu yang langsung tidak boleh dibuka sedangkan penonton semakin ramai dengan had pengisian 15,000 orang. Tahap keselamatan Stadium Nasional dan Stadium Shah Alam cukup tinggi dan mempunyai piawaian antarabangsa. Keadaan stadium tidak sepenuhnya menentukan keselamatan terjamin tetapi ia memang merupakan salah satu faktor yang menyumbangkan kejadian yang tidak diingini. Stadium Shah Alam ada terowong untuk laluan bas pasukan dan tetamu kenamaan atau pegawai perlawanan tetapi di Kota Bharu, semuanya dihimpunkan di satu laluan dan hentian, ini menimbulkan masalah besar.

Namun, bagi saya yang bergiat lama dalam politik, saya boleh menghidu ada kelompok tertentu yang sengaja mencetuskan kekacauan dan merancangnya setelah melihat bola sepak Kelantan mula maju. Populariti bola sepak tidak disenangi mereka. Rusuhan di stadium itu (Selasa lalu) merupakan campuran perayaan kemenangan berbaur politik pada hari pilihan raya kecil dan dendam kemarahan penonton bola sepak sejak perlawanan pertama dengan Negeri Sembilan (Liga Super). Ini satu hari malang buat pasukan Kelantan.

Tan Sri mempunyai minat mendalam dan pengalaman mengetuai Kementerian Belia dan Sukan 1990-95, malah menjadi antara perencana kejayaan skuad badminton negara menjulang Piala Thomas 1992 dan meraih pingat pertama Sukan Olimpik Barcelona 1992. Sanggupkah Tan Sri menyertai FAM dan menyandang jawatan kanannya memandangkan bola sepak kita masih ketandusan kejayaan selepas pingat emas Sukan SEA 1989, naib juara Piala Tiger 1996 dan juara Pestabola Merdeka 2007?

ANNUAR: Mereka yang di FAM itu sudah berpengalaman dan berkebolehan. Biarlah mereka yang mentadbir dan saya buat sahaja yang kecil ini (KAFA) tetapi pesan saya ialah, meminjam kata Perdana Menteri baru kita – “zaman orang atasan tahu semua atau berasa diri mereka sentiasa betul sudah berlalu”. Yang memegang jawatan itu jangan fikir hendak glamor atau ada motif lain untuk dikejar di kelilingnya kerana bola sepak satu industri yang besar – perolehannya mampu mencapai RM300 hingga RM400 juta. Tugas di FAM tugas yang sukarela tetapi jika seseorang penyandangnya sudah mencuba sehabis baik dan masih gagal, eloklah beri peluang itu kepada orang lain dan uruskanlah dengan suasana penuh semangat kesukanan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: