Kelantan ‘dibuang’ ke Bukit Jalil



PETALING JAYA – Trak polis dibakar, cermin kenderaan awam dipecahkan, botol minuman dan mercun dibaling ke dalam padang. Ini bukanlah satu filem baru yang memaparkan adegan ganas yang akan ditayangkan di panggung tidak lama lagi.

Namun insiden ini merupakan satu realiti yang berlaku di Stadium Sultan Muhammed IV di Kota Bharu Kelantan pada perlawanan Liga Super minggu lalu dan perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara Kelantan dan juga Negeri Sembilan kelmarin.

Ekoran kejadian itu, Kelantan yang menjadi penganjur pada perlawanan itu menerima hukuman oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bagi peminat, mungkin memikirkan FAM akan mengenakan tindakan keras dan tegas namun hakikatnya, Kelantan hanya dikenakan hukuman ringan – buat sementara waktu – dan diarahkan bermain di gelanggang berkecuali, Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Hak tuan rumah bagi perlawanan Liga Super dengan Selangor itu dikekalkan buat Kelantan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetapi tindakan lanjut gara-gara keganasan penyokong Wira Merah di Stadium Sultan Muhammed IV itu bakal ditangani Jawatankuasa Tatatertib, hari ini.

Kelmarin, penyokong Kelantan mencemari bola sepak negara dengan membakar kenderaan polis, merosakkan harta benda awam dan individu serta merusuh setelah tidak berpuas hati dengan kekalahan 0-1 kepada Negeri Sembilan, selain masih berdendam dengan lawan yang meleburkan rekod tanpa kalah liga di tempat sendiri, 31 Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Che Mat Jusoh berkata, gelanggang perlawanan Kelantan-Selangor, Sabtu ini dipindah atas faktor keselamatan tetapi skuad Wira Merah masih bertindak selaku tuan rumah yang bertanggungjawab menguruskan dan mengendalikan persediaan, perjalanan perlawanan dan kutipan tiket.

“Gelanggang bagi perlawanan Liga Super Kelantan menentang Johor FC dan Perlis pada 2 Mei dan 19 Mei akan ditentukan selepas Sabtu ini apabila kami memanggil dan mendapatkan makluman pegawai Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengenai jaminan keselamatan di gelanggang Kota Bharu,” katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Menurut Che Mat, pegawai kanan polis yang menganggotai Jawatankuasa Keselamatan FAM pula berjanji untuk memberikan kawalan keselamatan di Bukit Jalil yang sebaik mungkin termasuk menempatkan anggota mereka yang secukupnya sekalipun Kelantan dipercayai masih mempunyai ramai penyokong di Lembah Klang.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad pula berkata, Jawatankuasa Tatatertib akan memanggil individu tertentu hari ini, berhubung kelakuan penyokong Kelantan yang membaling objek ke padang, 31 Mac lalu dan kejadian rusuhan mereka serta layangan kad merah terhadap penjaga gol tuan rumah, Halim Napi kerana menyerang pemain lawan, kelmarin.

“Bagi kelakuan penonton, persatuan tuan rumah boleh didenda, larangan menggunakan stadium itu atau hanya bermain secara tertutup tanpa penonton,” katanya yang bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada individu dipanggil itu turut melibatkan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa ekoran kenyataan akhbarnya yang lantang, 31 Mac lalu.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didapati mengkritik mutu pengadilan perlawanan Kelantan-Negeri Sembilan malah menyalahkannya sebagai punca penyokong membaling botol dan objek lain ke padang Stadium Sultan Muhammed IV selain menganggap anggota polis hanya memerhatikan tindakan mereka tanpa mengambil sebarang tindakan.

credit : utusan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: