Button semakin pantas




JENSON BUTTON (dua dari kanan) meraikan kejayaannya selepas menjuarai GP Malaysia di Sepang semalam.



PEMANDU Brawn GP, Jenson Button merekodkan kemenangan kedua berturut-turut di pentas Formula Satu (F1) musim ini selepas mengungguli perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia semalam.

Kejayaan Button itu hadir ketika perlumbaan 56 pusingan di Litar Sepang itu terpaksa dihentikan setakat pusingan ke-32 ekoran hujan lebat.

Pemandu Britain itu gagal bermula dengan baik dari petak pertama, namun strategi Button ketika memasuki pit untuk menukar tayar memberi kelebihan kepadanya untuk mendahului sebelum perlumbaan ditangguhkan akibat cuaca buruk.

Begitupun, pengelola perlumbaan membuat keputusan untuk menamatkan terus perlumbaan GP Malaysia selepas hampir satu jam ditangguhkan.

Keputusan itu sekali gus memberikan kemenangan mutlak kepada Button selepas dia berjaya mendahului pemandu-pemandu lain sebelum perlumbaan ditangguhkan.

Menariknya, ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut yang diraih Button selepas GP Australia minggu lalu dan juga merupakan kejayaan kedua buat Brawn GP pada penampilan sulung mereka dalam F1 musim ini.

Sementara itu, pemandu BMW Sauber, Nick Heidfeld turut mendapat rahmat daripada hujan lebat yang berlaku semalam apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua diikuti pemandu Toyota, Timo Glock.

Namun, semua pemenang bagi perlumbaan semalam hanya memperoleh separuh daripada pungutan mata yang diberikan bagi setiap kedudukan selepas perlumbaan gagal ditamatkan sepenuhnya.

Ini bermakna, Button hanya meraih lima mata daripada 10 mata yang diberikan kepada pemenang sementara Heidfeld dan Glock masing-masing memperoleh empat dan tiga mata.

“Ini adalah perlumbaan paling mencabar pernah saya lalui,” jelas Button yang kini mengungguli kedudukan keseluruhan dengan 15 mata.

“Saya bermula agak teruk sehingga membenarkan Nico Ros- berg memintas saya pada selekoh pertama pusingan pertama. Situasi itu jelas memberi tekanan kepada saya, namun saya berjaya mengekalkan rentak untuk terus berada dalam kelompok hadapan.

“Begitupun, saya berjaya menggunakan kelebihan ketika memasuki pit lebih awal dan menukar tayar ketika hujan kelihatan mula turun. Ia adalah satu keadaan yang benar-benar kelam-kabut dan hanya strategi memisahkan setiap pemandu.

“Jadi, seharusnya saya berterima kasih kepada jurutera pasu- kan kerana telah membantu saya meraih kemenangan ini.”

Sementara itu, pemandu Itali, Jarno Trulli yang bermula dari petak kedua sekadar berada di tempat keempat diikuti naib juara GP Australia dari Brawn GP, Rubens Barrichello di tempat kelima.

Juara dunia, Lewis Hamilton dari pasukan McLaren berjaya meraih mata pertamanya musim ini selepas menduduki tempat ketujuh, ketinggalan di belakang pemandu Red Bull, Mark Webber.

Dua bekas juara dunia, Fernando Alonso dari Renault dan pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen terus tenggelam di sebalik hujan lebat apabila masing-masing menduduki tempat ke-11 dan 14.

kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: