Kelantan tak gentar gema Shah Alam



KELANTAN bakal berkunjung ke Stadium Shah Alam, Sabtu ini, berbekalkan tekad untuk menjarakkan kedudukan selaku pendahulu Liga Super kepada enam mata ke atas Selangor, sambil menamatkan kemarau kemenangan skuad itu di gelanggang keramat Merah Kuning sejak 30 tahun lalu.

Pertentangan dua pasukan berprofil tinggi yang diberi jolokan garang, Red Warriors (Kelantan) dan Red Giants (Selangor) itu boleh dianggap sebagai `ibu segala perlawanan’ dengan sebarang keputusan akan menggambarkan pasukan mana bakal dilabel selaku pilihan bergelar juara Liga Super edisi keenam.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa (gambar), menuntut anak didik skuad kendalian Peter Butler itu tampil dengan aksi lebih bertenaga dalam usaha melakar sejarah buat julung kalinya menewaskan Selangor di gelanggang lawan sejak tiga dekad lalu.

“Setahu saya, Kelantan sudah 30 tahun tidak pernah menang di Selangor, tetapi itu kisah lama. Sekarang situasi berlainan di mana Kelantan kini adalah pendahulu Liga Super dan saya yakin pemain tahu apa yang perlu dilakukan untuk memastikan tiga mata.

“Walaupun ia cuma satu perlawanan daripada musim yang masih panjang, ini adalah pertemuan dua pasukan teratas. Jadi, saya mahu pemain turun dengan satu matlamat iaitu mencatat kemenangan kerana mereka juga berpeluang mencipta sejarah bola sepak Kelantan,” kata Annuar.

Annuar berkata, dalam pertemuannya dengan pemain selepas mereka menewaskan Polis dalam aksi Piala FA Selasa lalu, semua pemain berjanji menampilkan aksi terbaik untuk pasukan sesuai dengan status Kelantan yang kini bergelar pendahulu liga.

“Berdasarkan perbincangan dengan jurulatih (Butler), saya diberitahu kebanyakan pemain masih belum mencapai kemuncak dan saya harap pemain akan mempamerkan prestasi sebenar dalam perlawanan Sabtu ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui Selangor bukan calang-calang pasukan apa lagi juara Piala Malaysia 30 kali itu sudah pasti mahu melakukan kebangkitan segera selepas tewas kepada MyTeam dalam aksi sebelum ini sehingga melepaskan takhta liga kepada Kelantan.

Annuar menjangkakan kedua-dua pasukan bakal menyajikan aksi berkualiti kerana masing-masing memerlukan kemenangan dengan pasukan yang bijak menyempurnakan peluang serta kurang melakukan kesilapan bakal pulang dengan kemenangan.

“Selain itu, sokongan padu penyokong turut memainkan peranan untuk menaikkan semangat pemain. Setakat ini, 12 bas sudah mengesahkan membawa penyokong Kelantan ke Shah Alam dan jumlah itu dijangka bertambah menjelang hari perlawanan.

“Saya harap penyokong Kelantan di Lembah Klang dapat beramai-ramai ke stadium bagi mengimbangi sokongan yang diterima Selangor, sekali gus memastikan pemain tidak kekok berdepan sorakan bergemuruh penyokong tuan rumah,” katanya.

Credit to : Berita Harian

Leave a comment