FAM tidak halang FA ambil jurulatih luar


KUALA LUMPUR – Mungkin bagus tetapi mampukah kita? Ringkas, padat dan sinis komen Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad mengenai saranan jurulatih Kelantan, Peter Butler agar lebih ramai jurulatih luar dibawa masuk ke Liga Malaysia.

Menurut Azzuddin, FAM tidak pernah sekali pun menutup pintu kepada jurulatih asing seandainya ada pasukan yang mampu mendapatkan khidmat mereka.

“Soalnya, berapa banyak pasukan yang mampu? Sedang mahu membayar gaji pemain pun ada yang berhutang, inikan pula mahu membayar khidmat jurulatih asing.

“Apabila mengambil khidmat seseorang, pastikan anda mampu membayar. Jika tidak, ia hanya akan memalukan negara,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Azzuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Butler agar lebih ramai jurulatih import dibawa masuk ke Malaysia bagi memantapkan mutu bola sepak negara.

Butler menganggap, pengambilan jurulatih asing untuk berkhidmat di negara ini mampu menyumbang idea-idea baru sekali gus meningkatkan mutu bola sepak tempatan yang berpotensi untuk dikembangkan.

Buat masa ini, terdapat enam jurulatih asing yang menabur bakti di Liga M iaitu Butler di Kelantan, Ken Worden di Terengganu, Bojan Hodak melatih UPB-MyTeam, Wathiq Naji Jasim bertugas di Sabah, Robert Alberts di Sarawak dan Alessandro Stefano Cugurra Rodrigues mengendali Kuala Muda Naza.

Bagi Azzuddin, jurulatih bukanlah menjadi faktor utama kejayaan bola sepak negara tetapi mutu pemain di dalam sesebuah pasukan itu yang menentukan kejayaan.

“Pembangunan di peringkat akar umbi perlu diberi perhatian. Anda boleh memanggil sesiapa sahaja untuk melatih sesebuah pasukan tetapi ia tidak akan berhasil seandainya pasukan itu tidak diwakili para pemain berkaliber,” katanya.

Azzuddin dalam pada itu turut seakan mencabar jurulatih asing untuk membuktikan kemampuan mereka mengatasi pencapaian jurulatih tempatan.

“Sama-sama kita lihat bagaimana pencapaian jurulatih luar pada penghujung musim ini. Benarkah mereka untuk mengatasi pencapaian jurulatih tempatan? Anda nilaikanlah sendiri,” ujarnya.

Sebelum memutus talian, Azzuddin turut sempat memberi sedikit ingatan kepada pasukan yang mungkin ‘termakan’ dengan saranan Butler.

“Jika benar mahu membawa jurulatih luar, carilah jurulatih yang benar-benar berkaliber dan mampu membawa kejayaan kepada pasukan.

“Sejarah membuktikan pengendali tempatan lebih banyak mencatat kejayaan di dalam Liga Malaysia. Maka tidak ada salahnya untuk menggaji jurulatih tempatan,” ujarnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: